ummu aisyah***

by Si Pendosa / Ust k.a.i
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

Pada dada langit,
aku dan kau persis khalifah bumi,
pada garisan mata ligat diperhati,
pada titisan pujangga bebas dimanipulasi,
pada cetusan monolog diri makin dihalusi,
bersama sorotan resah di jiwa dan akal.

Kita yang bernama insani,
ingatlah..
bahawa yang terselindung,
bahawa yang tertulis,
segalanya di dalam coretan,
tiada yang tercicir mahupun tertinggal,
walau sebesar hama usah diabaikan.

Kita..
yang bernama makhluk sementara,
pada persinggahan sementara,
pada olengan masa,
bahas tidak mampu mengubah fakta,
timbangan neraca menentu mengorak langkah,
pada landasan keaiban dunia.

Maka..
rentangkann dua kalimah shadah dibibir kemuliaan,
usungkan langkah ke pintu kebenaran,
gerbangkan solat pada ufuk kerohanian,
dalam sinaran alam sebelum kegelapan menyelimuti diri.

Kita..
adalah semulia-mulia ciptaan,
kejutkan diri, gentarkan lamunan,
olah semula halaman hidup,
selagi nadi bernafas, bernafas irama,
selagi jasad berlari rentak,
pada realiti kehidupan,
ke syurga firdausi..
Labels: 0 bicara |
ummu aisyah***
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah kita sudah sampai pada Ramadhan yang ke 23. Pejam celik pejam celik sekejap saja rasanya kita melalui Ramadhan kareem ni. Bagaimana mengisian Ramadhan anda? (saya?). Baik, kita tinggalkan sekejap cerita Ramadhan kita. Cerita raya pun kita tinggal dulu sebab Ramadhan ni belum sampai ke penghujungnya jadi tidak perlu kita sibukkan diri bercerita pasal raya. (normal lah tu, sudah menjadi budaya kita sambutan hari raya lebih meriah berbanding bulan ramadhan bulan ibadah kan. Tidak mampu kata apa, fuhh..  Tepuk dada tanya iman? Aiman tak kisah.  Iman kita kisah tak?)

Pernah tidak anda menjaga orang sakit? Bagaimana perasaannya? Jujur saya katakan saya kalut dan kekok berhadapan dengan orang sakit.  Tidak tahu mahu lakukan apa-apa, serba-serbi tidak kena. Hari ini Puan Ummi pergi shooping raya di KK, mungkin balik petang esok. Nak di jadikan cerita, nenek saya (mak pada puan ummi lah) sedang sakit dan duduk bersama kami. Puan Ummi lah yang menjaga kebajikan nenek saya daripada celiknya waktu pagi sehingga  waktu malam. Bila Puan Ummi tiada di rumah maknanya saya, dan kakak saya lah yang perlu menguruskan nenek.

Selepas waktu berbuka tadi kakak saya pesan untuk sediakan makan malam dan air mandian buat nenek. Saya pun mengikut saja lah sebab kakak saya sudah masak jadi saya kena lah bertimbang rasa sikit buat kerja rumah yang lain. Bukan tidak pernah sediakan makan malam buat nenek tapi selalunya ummi yang buatkan dan kalau saya yang sediakan saya akan pastikan sebelum saya berbuka puasa makan malam untuk nenek sudah pun siap. Cumanya tadi saya terlupa dan siapkan makan malam selepas saya berbuka puasa dan terus siapkan air mandian. Bab mandi ni saya tidak kisah sangat sebab nenek masih ada kudrat untuk mandi sendiri. Lagipun bilik air tidak sampai sepuluh langkah pun daripada bilik.

Saya tidak pernah mengurus kebajikan orang sakit (tenat). Masa bapak sakit dulu pun saya berada di kampus. Ada juga balik beberapa kali biarpun terbatas dek jarak yang jauh tapi itu bukan alasan kan. Ingat lagi masa bapak terlantar di hospital, masa tu bapak boleh jalan lagi. Bergerak kesana kemari tapi cepat penat (tercungap-cungap). Pernah sekali saya bergilir jaga bapak di wad, malam tu saya langsung tidak tidur sebab kesian dengan puan ummi sudah seharian jaga bapak. Pagi tu dalam pukul tiga pagi bapak bangun kejutkan ummi tapi saya larang sebab kesian lah tengok ummi  tidur terganggu. Bapak sebenarnya lebih selesa minta apa-apa pun daripada ummi berbanding minta dengan anak-anak. Mungkin keselesaan, keserasian dan layanan yang ummi berikan tu  buat bapak lebih selesa.

Bapak mula sakit tenat bila kami adik-beradik ambil keputusan untuk bawa bapak balik ke rumah sebab doktor pun tidak mampu buat apa-apa lagi selain tunggu keputusan diagnos itu diagnos ini. Hari-hari semasa berada di hospital bapa mengadu bosan dan penat duduk lama-lama dalam wad tapi doktor seperti tidak buat apa-apa. Orang tua kan biasa lah tu, doktor cuma buat yang terbaik yang memerlukan pengorbanan masa daripada pesakit. Saya masih ingat lagi saya hanya berkesempatan  menjaga bapak cuma 2 hari 2 malam sahaja masa bapak sakit tenat dan tidak mampu berjalan. Selepas tu saya balik semula ke kampus (dan balik sekali lagi hanya melihat jasad yang kaku). Masa bapak sakit tenat tu ummi lah yang jaga makan minum, mandikan, pakaikan dan uruskan bapak. Saya tidak pernah sekalipun ambil alih tugas mandikan dan pakaikan bapak sebab tahu bapak malu dengan anak-anak perempuan dia ni. Jadinya, saya langsung tidak tahu macam mana mengurus orang sakit yang sudah tidak punya kudrat untuk melakukan apa-apa untuk diri sendiri sehinggalah tadi.

Selepas nenek mandi, saya pakaikan nenek baju dan saya tanyakan siapa yang selalu pakaikan pampers.  (ya nenek pakai pampers dan pasti anda boleh bayangkan sakit nenek bagaimana kan?) Masa tu saya kalut tidak tahu mahu buat apa-apa. Kalau ikutkan hati mahu saja selesaikan kerja ni secepatnya dengan ambil langkah mudah, panggil saja kakak saya untuk uruskan tapi akal waras dan jiwa hamba saya masih sihat untuk uruskan sendiri. Maknanya saya yang kena pakaikan nenek pampers tu dan sekali lagi saya kalut. Bagaimana? Hati remaja saya kata “ owh mungkin pakaikan pampers seperti pakaikan pada bayi”. Ternyata saya ni belum cukup dewasa, telahan saya silap sama sekali. Hei kamu ni.. dush** dush** saya belajar sesuatu kali ini.

Pertama. Dalam mengurus orang tua yang sakit, kita kena juga menjaga aib mereka biarpun mereka kadang-kadang seperti kanak-kanak. Jangan ambil mudah perkara sebegini. Jaga aib mereka seperti mana mereka menjaga aib mereka sendiri semasa mereka sihat.

Kedua. Bila kita uruskan mereka, kita kena usap mereka dengan lembut agar tidak menyakiti mereka. Badan mereka lemah, bukan seperti kita orang muda yang sihat ni. Bila kita membantu mereka bergerak kita kena pastikan kita lakukan dalam keadaan yang lemah lembut dan jangan terburu-buru. Takut-takut nanti terseliuh pula urat-urat sendi mereka.

Ketiga. Tolong jaga kata-kata anda. Setiap ayat yanag meluncur keluar daripada mulut kita pastikan ianya tidak menyakiti hati mereka. Orang tua ni agak sensitif dan mengharap perhatian yang lebih daripada orang sekelilingnya. Jasad mereka sakit dan tolong jangan sakitkan hati mereka pula.

Keempat. Lakukan dengan niat yang ikhlas biarpun kita sebenarnya kekok dalam melakukannya. Cuba untuk mencuba dan belajar untuk melakukannya. Daripada situ kita boleh menilai bagaimana tahap kasih sayang dan ihsan kita terhadap insan lain.

Nasib baik ummi tiada di rumah hari ini, kalau tidak sampai bila-bila pun saya tidak akan dapat  pengajaran ini. Nampak seperti perkara mudah tapi sangat bermakna untuk pengisian jiwa dan rohani kita. Anda tahu tetepi anda tidak akan faham selagi anda tidak merasakannya. Ini adalah pengajaran yang osem buat saya pada hari ini. Semoga Allah kira pengorbanan ummi menjaga suami terchenta dan nenek. Pengorbanan besar seorang isteri dan seorang anak.

Semoga Allah redha!