بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Alhamdulillah kita sudah sampai
pada Ramadhan yang ke 23. Pejam celik pejam celik sekejap saja rasanya kita
melalui Ramadhan kareem ni. Bagaimana mengisian Ramadhan anda? (saya?). Baik,
kita tinggalkan sekejap cerita Ramadhan kita. Cerita raya pun kita tinggal dulu
sebab Ramadhan ni belum sampai ke penghujungnya jadi tidak perlu kita sibukkan
diri bercerita pasal raya. (normal lah tu, sudah menjadi budaya kita sambutan
hari raya lebih meriah berbanding bulan ramadhan bulan ibadah kan. Tidak mampu
kata apa, fuhh.. Tepuk dada tanya iman? Aiman
tak kisah. Iman kita kisah tak?)
Pernah tidak anda menjaga orang
sakit? Bagaimana perasaannya? Jujur saya katakan saya kalut dan kekok berhadapan
dengan orang sakit. Tidak tahu mahu
lakukan apa-apa, serba-serbi tidak kena. Hari ini Puan Ummi pergi shooping raya
di KK, mungkin balik petang esok. Nak di jadikan cerita, nenek saya (mak pada
puan ummi lah) sedang sakit dan duduk bersama kami. Puan Ummi lah yang menjaga
kebajikan nenek saya daripada celiknya waktu pagi sehingga waktu malam. Bila Puan Ummi tiada di rumah
maknanya saya, dan kakak saya lah yang perlu menguruskan nenek.
Selepas waktu berbuka tadi kakak
saya pesan untuk sediakan makan malam dan air mandian buat nenek. Saya pun
mengikut saja lah sebab kakak saya sudah masak jadi saya kena lah bertimbang
rasa sikit buat kerja rumah yang lain. Bukan tidak pernah sediakan makan malam
buat nenek tapi selalunya ummi yang buatkan dan kalau saya yang sediakan saya
akan pastikan sebelum saya berbuka puasa makan malam untuk nenek sudah pun
siap. Cumanya tadi saya terlupa dan siapkan makan malam selepas saya berbuka
puasa dan terus siapkan air mandian. Bab mandi ni saya tidak kisah sangat sebab
nenek masih ada kudrat untuk mandi sendiri. Lagipun bilik air tidak sampai
sepuluh langkah pun daripada bilik.
Saya tidak pernah mengurus
kebajikan orang sakit (tenat). Masa bapak sakit dulu pun saya berada di kampus.
Ada juga balik beberapa kali biarpun terbatas dek jarak yang jauh tapi itu
bukan alasan kan. Ingat lagi masa bapak terlantar di hospital, masa tu bapak boleh
jalan lagi. Bergerak kesana kemari tapi cepat penat (tercungap-cungap). Pernah sekali
saya bergilir jaga bapak di wad, malam tu saya langsung tidak tidur sebab kesian
dengan puan ummi sudah seharian jaga bapak. Pagi tu dalam pukul tiga pagi bapak
bangun kejutkan ummi tapi saya larang sebab kesian lah tengok ummi tidur terganggu. Bapak sebenarnya lebih
selesa minta apa-apa pun daripada ummi berbanding minta dengan anak-anak. Mungkin
keselesaan, keserasian dan layanan yang ummi berikan tu buat bapak lebih selesa.
Bapak mula sakit tenat bila kami
adik-beradik ambil keputusan untuk bawa bapak balik ke rumah sebab doktor pun
tidak mampu buat apa-apa lagi selain tunggu keputusan diagnos itu diagnos ini. Hari-hari
semasa berada di hospital bapa mengadu bosan dan penat duduk lama-lama dalam
wad tapi doktor seperti tidak buat apa-apa. Orang tua kan biasa lah tu, doktor cuma
buat yang terbaik yang memerlukan pengorbanan masa daripada pesakit. Saya masih
ingat lagi saya hanya berkesempatan menjaga
bapak cuma 2 hari 2 malam sahaja masa bapak sakit tenat dan tidak mampu
berjalan. Selepas tu saya balik semula ke kampus (dan balik sekali lagi hanya
melihat jasad yang kaku). Masa bapak sakit tenat tu ummi lah yang jaga makan
minum, mandikan, pakaikan dan uruskan bapak. Saya tidak pernah sekalipun ambil
alih tugas mandikan dan pakaikan bapak sebab tahu bapak malu dengan anak-anak
perempuan dia ni. Jadinya, saya langsung tidak tahu macam mana mengurus orang
sakit yang sudah tidak punya kudrat untuk melakukan apa-apa untuk diri sendiri
sehinggalah tadi.
Selepas nenek mandi, saya
pakaikan nenek baju dan saya tanyakan siapa yang selalu pakaikan pampers. (ya nenek pakai pampers dan pasti anda boleh
bayangkan sakit nenek bagaimana kan?) Masa tu saya kalut tidak tahu mahu buat
apa-apa. Kalau ikutkan hati mahu saja selesaikan kerja ni secepatnya dengan
ambil langkah mudah, panggil saja kakak saya untuk uruskan tapi akal waras dan
jiwa hamba saya masih sihat untuk uruskan sendiri. Maknanya saya yang kena
pakaikan nenek pampers tu dan sekali lagi saya kalut. Bagaimana? Hati remaja
saya kata “ owh mungkin pakaikan pampers seperti pakaikan pada bayi”. Ternyata saya
ni belum cukup dewasa, telahan saya silap sama sekali. Hei kamu ni.. dush**
dush** saya belajar sesuatu kali ini.
Pertama. Dalam mengurus orang tua
yang sakit, kita kena juga menjaga aib mereka biarpun mereka kadang-kadang
seperti kanak-kanak. Jangan ambil mudah perkara sebegini. Jaga aib mereka
seperti mana mereka menjaga aib mereka sendiri semasa mereka sihat.
Kedua. Bila kita uruskan mereka, kita
kena usap mereka dengan lembut agar tidak menyakiti mereka. Badan mereka lemah,
bukan seperti kita orang muda yang sihat ni. Bila kita membantu mereka bergerak
kita kena pastikan kita lakukan dalam keadaan yang lemah lembut dan jangan
terburu-buru. Takut-takut nanti terseliuh pula urat-urat sendi mereka.
Ketiga. Tolong jaga kata-kata
anda. Setiap ayat yanag meluncur keluar daripada mulut kita pastikan ianya
tidak menyakiti hati mereka. Orang tua ni agak sensitif dan mengharap perhatian
yang lebih daripada orang sekelilingnya. Jasad mereka sakit dan tolong jangan
sakitkan hati mereka pula.
Keempat. Lakukan dengan niat yang
ikhlas biarpun kita sebenarnya kekok dalam melakukannya. Cuba untuk mencuba dan
belajar untuk melakukannya. Daripada situ kita boleh menilai bagaimana tahap
kasih sayang dan ihsan kita terhadap insan lain.
Nasib baik ummi tiada di rumah
hari ini, kalau tidak sampai bila-bila pun saya tidak akan dapat pengajaran ini. Nampak seperti perkara mudah
tapi sangat bermakna untuk pengisian jiwa dan rohani kita. Anda tahu tetepi
anda tidak akan faham selagi anda tidak merasakannya. Ini adalah pengajaran
yang osem buat saya pada hari ini. Semoga Allah kira pengorbanan ummi menjaga
suami terchenta dan nenek. Pengorbanan besar seorang isteri dan seorang anak.
Semoga Allah redha!